Tuesday, October 10, 2006

Pemuliharaan Sungai

Panagalan sungai Kuyungon / Tondulu dengan kerjasama diantara persatuan yang terdiri daripada beberapa buah kampung (Kuyungon dan kampung berhampiran seperti Tondulu, Papar) dan Jabatan Perikanan Daerah Tambunan telah dimulakan sejak tiga tahun lalu iaitu sekitar tahun 2003. Tujuan utama panagalan ini adalah untuk pemulihan semula hidupan sungai yang hampir pupus akibat aktiviti pengambilan hasil sungai yang tidak terkawal sebelum ini. Dalam program ini, sungai yang dikenalpasti akan dijadikan sebagai zon larangan menangkap hasil sungai untuk beberapa ketika dan akan dibuka untuk kutipan hasil pada suatu waktu tertentu yang telah dipersetujui oleh semua pihak.

Antara kaedah-kaedah yang dilaksanakan dalam program ini ialah :-

- Menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk melaksanakan dan memantau aktiviti panagalan.
- Mengenalpasti kawasan sungai yang dijadikan kawasan larangan mengambil hasil sungai.
- Mewujudkan peraturan-peraturan panagalan.
- Memeterai perjanjian
- Mengenalpasti zon larangan kekal.
- Lawatan dan pemantauan hasil sungai
- Denda ke atas individu yang melanggar peraturan
- Kutipan hasil pada suatu masa yang dipersetujui dalam perjanjian

Sejarah awal

Sekiranya program ini dilihat kembali berdasarkan sejarah dan tradisi masyarakat di sini, ia sebenarnya bukanlah perkara baru. Tradisi ini telahpun wujud dan kita warisi sejak nenek moyang kita lagi di mana beberapa kelompok keluarga berpakat untuk menjadikan sungai di kawasan mereka sebagai kawasan larangan dan hasilnya akan diambil pada masa yang sesuai dengan cara bergotong-royong (“mitabang”) dan dikongsi di kalangan mereka. Pada ketika itu kawasan tersebut ditandakan dengan buluh yang dipacakkan ke tanah (“tonduk / notondukan”). Penandaan kawasan juga dibuat dalam skala yang kecil dan untuk tempoh yang singkat atau tempoh-tempoh tertentu sahaja.

Penandaan kawasan larangan (tonduk) pada zaman dahulu tidak terhad pada sungai sahaja tetapi juga pada kawasan kebun, buah-buahan serta hasil hutan seperti rotan/ buluh dan sebagainya. Penandaan tonduk pada ketika itu dilakukan untuk menggandakan hasil sungai, buah-buahan, hasil hutan untuk kegunaan pada masa-masa tertentu seperti contoh berikut:-

1. Perkahwinan / pertunangan
2. Perhimpunan keluarga (saudara jauh berkunjung/ moginakan)
3. Gotong-royong (mitabang)
3. Perayaan Pesta Menuai (Kaamatan)
4. Musim menanam padi (penggunaan hasil hutan seperti buluh dan rotan yang banyak untuk membuat pagar) dan banyak lagi kegunaan lain.

Uniknya, komuniti pada masa lalu saling faham dan menghormati tradisi ini.Namun kelemahan masa lalu ialah tiada peraturan bertulis yang jelas, adil dan berkesan diperkenalkan menyebabkan tradisi ini semakin pupus di kalangan masyarakat.


Kesan Positif

Usaha panagalan yang baru diperkenalkan memberikan kesan positif yang besar kepada alam sekitar terutamanya sungai.

Pemulihan hidupan sungai ini turut mengembalikan keseimbangan pada ekosistem di sesuatu kawasan. Antara pemerhatian penduduk kampung dan penulis mendapati beberapa jenis burung dan binatang yang sudah lama tidak kelihatan kini dikesan semula ada di kawasan sungai dan sekitar kampung. Begitu juga dengan sesetengah tumbuhan yang dianggap pupus sebelum ini turut kelihatan ada tumbuh semula di kawasan sekitar sungai walaupun bilangannya tidak banyak. Penduduk mempercayai bahawa sesetengah tumbuhan ini dibawa oleh burung-burung dan juga haiwan tertentu yang kembali ke kawasan sungai.

Penagalan ini juga secara tidak langsung menerapkan kesedaran kepada masyarakat tentang nilai dan kepentingan alam sekitar di samping mengeratkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat. Ia juga membantu menghidupkan kembali tradisi yang telah diamalkan turun-temurun dengan cara yang telah diperbaharui dan ternyata lebih baik. Kita berharap agar program-program seperti ini akan berterusan sehingga ke generasi yang akan datang.

Kesan Sampingan yang perlu dipertimbangkan

Penulis sekadar melontarkan isu yang perlu diambilkira dalam projek penagalan agar dilihat oleh pihak yang bertanggungjawab. Antara isu yang perlu diambilkira adalah :-

1. Keadilan sejagat : Kawasan larangan dihadkan pada kawasan tertentu sahaja dan menyediakan kawasan yang boleh diaksess oleh semua pihak memandangkan sungai adalah harta bersama.

2. Kekalkan habitat sungai: Biarlah hidupan sungai dikekalkan seperti sediakala dan tidak perlu ditambah dengan spesis yang tidak sesuai. Penulis mengambilkira contoh sungai-sungai di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur yang kini dipenuhi dengan spesis ikan luar seperti ikan bandaraya yang mengakibatkan spesis asal pupus dan mengalami masalah.

No comments:

Post a Comment