Tuesday, October 10, 2006

Pemuliharaan Sungai

Panagalan sungai Kuyungon / Tondulu dengan kerjasama diantara persatuan yang terdiri daripada beberapa buah kampung dan Jabatan Perikanan Daerah Tambunan telah dimulakan sejak tiga tahun lalu iaitu sekitar tahun 2003. Tujuan utama panagalan ini adalah untuk pemulihan semula hidupan sungai yang hampir pupus akibat aktiviti pengambilan hasil sungai yang tidak terkawal sebelum ini. Dalam program ini, sungai yang dikenalpasti akan dijadikan sebagai zon larangan menangkap hasil sungai untuk beberapa ketika dan akan dibuka untuk kutipan hasil pada suatu waktu tertentu yang telah dipersetujui oleh semua pihak.

Antara kaedah-kaedah yang dilaksanakan dalam program ini ialah :-

- Menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk melaksanakan dan memantau aktiviti panagalan.
- Mengenalpasti kawasan sungai yang dijadikan kawasan larangan mengambil hasil sungai.
- Mewujudkan peraturan-peraturan panagalan.
- Memeterai perjanjian
- Mengenalpasti zon larangan kekal.
- Lawatan dan pemantauan hasil sungai
- Denda ke atas individu yang melanggar peraturan
- Kutipan hasil pada suatu masa yang dipersetujui dalam perjanjian

Sekiranya program ini dilihat kembali berdasarkan sejarah dan tradisi masyarakat di sini, ia sebenarnya bukanlah perkara baru. Tradisi ini telahpun wujud sejak nenek moyang kita lagi di mana beberapa kelompok keluarga berpakat untuk menjadikan sungai di kawasan mereka sebagai kawasan larangan dan hasilnya akan diambil pada masa yang sesuai dengan cara bergotong-royong (“mitabang”) dan dikongsi di kalangan mereka. Pada masa itu kawasan tersebut ditandakan dengan buluh yang dipacakkan ke tanah (“tonduk / notondukan”). Kelemahan pada masa itu ialah tiada peraturan yang jelas, adil dan berkesan diperkenalkan menyebabkan tradisi ini semakin pupus di kalangan masyarakat.

Usaha panagalan yang baru diperkenalkan memberikan kesan positif yang besar kepada alam sekitar terutamanya sungai.

Ia secara tidak langsung menerapkan kesedaran kepada masyarakat tentang nilai dan kepentingan alam sekitar di samping mengeratkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat. Ia juga membantu menghidupkan kembali tradisi yang telah diamalkan turun-temurun dengan cara yang telah diperbaharui dan ternyata lebih baik.

Kita berharap agar program-program seperti ini akan berterusan sehingga ke generasi yang akan datang.

No comments:

Post a Comment