Tuesday, October 10, 2006

Sosio Ekonomi

Pertanian merupakan salah satu sumber pendapatan penduduk di kampung ini. Tanaman seperti padi bukit, ubi kayu, jagung dan buah-buahan tempatan merupakan tanaman yang diusahakan untuk kegunaan sendiri manakala tanaman seperti Sayur-sayuran, Halia, Tembakau, Cili dan beberapa tanaman lain diusahakan secara komersial.


Aktiviti penternakan seperti penternakan ayam, itik dan ikan pula kebanyakannya diusahakan untuk kegunaan sendiri sahaja. Namun beberapa penduduk di kawasan ini sudah mula melibatkan diri dalam penternakan ikan untuk tujuan komersial.
Aktiviti Pertanian dan penternakan di perkampungan ini telah wujud sejak dahulu lagi. Walaubagaimanapun, pembangunan pertanian di kampung ini berkembang agak perlahan disebabkan beberapa faktor yang perlu diambilkira untuk manafaat bersama.


Antara faktor tersebut adalah seperti :-

- Kedudukan perkampungan yang bersempadan dengan Taman Pemuliharaan Hutan Simpan Negara.
- Berdekatan dengan Kawasan Tadahan Air.
- Pemuliharaan sungai yang menjadi salah satu sumber air di Tambunan.
- Keadaan tanah yang berbukit-bukau.
- Sistem pengangkutan

Berdasarkan faktor-faktor ini, penduduk yang mengusahakan pertanian dan penternakan di kampung ini mengamalkan beberapa cara pertanian mengikut panduan dan piawaian yang diberikan oleh pihak berkuasa yang terlibat untuk memastikan kesihatan dan kebersihan alam sekitar terjamin. Kebanyakan aktiviti yang dilakukan adalah mengikut konsep “Mesra Alam” ini termasuklah

- Jarak kawasan pertanian dari kawasan sungai,
- Jenis-jenis tanaman
- Jenis-jenis ternakan
- Panduan penggunaan racun lengai dan serangga (untuk pertanian)
- Menggalakan pertanian setempat

Walaupun dengan adanya faktor-faktor ini perkembangan masih boleh dilihat berdasarkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat di sini yang semakin meningkat, namun masyarakat di sini berharap agar pihak berkuasa tempatan dapat memperkenalkan salah satu cara untuk meningkatkan ekonomi di kawasan ini terutamanya dari segi pertanian dan penternakan. Salah satu langkah yang diharapkan adalah untuk memindahkan pusat pengambilan sumber air ke kawasan yang lebih baik serta menaiktaraf sistem pengangkutan.

Dengan dua langkah awal ini, banyak manafaat yang akan dikongsi bersama oleh penduduk kampung khususnya dan juga masyarakat daerah Tambunan secara keseluruhannya.

Disamping itu, pemeliharaan alam sekitar harus diteruskan untuk menjamin kualiti alam sepanjang masa. Penjagaan alam sekitar tidak menjadi masaalah bagi masyarakat Kampung Kuyungon kerana berdasarkan pemerhatian jangka panjang, ia telahpun dipupuk dan dipraktikan sekian lama. Penduduk juga mengamalkan pengurusan dan pembuangan sampah yang teratur termasuklah menerapkan kesedaran dan memberi didikan kepada kanak-kanak dari peringkat awal. Hanya segelintir yang kurang peka serta pelawat dari luar yang sukar untuk dikawal kerana masih tidak memahami etika yang diamalkan.

Dengan penerapan etika dan keprihatinan penduduk yang kuat terhadap alam sekitar sejak sekian lama, kebersihan sungai dan alam sekitar sentiasa terjamin sehingga kini. Bacaan index pencemaran sungai yang dilakukan secara berkala oleh pihak berkuasa tempatan juga menunjukkan bahawa kualiti air sentiasa berada di paras yang selamat.

No comments:

Post a Comment